Monday, 27 August 2018

Cara Simpan dan Panaskan Susu Perahan



Setiap ibu yang ingin menyimpan susu perahan hendaklah memahami teknik yang betul bagaimana hendak memastikan susu yang disimpan adalah berkualiti daripada pelbagai segi. Ini kerana susu ibu adalah sangat berharga, penyimpanan yang tidak betul akan mengakibatkan pengurangan kandungan antibodi, antioksidan, enzim, sel-sel darah putih dan kandungan lemak yang berkhasiat untuk tumbesaran bayi.
A. Pemilihan Bekas Penyimpanan Susu
Pemilihan bekas penyimpan adalah penting untuk mengelakkan risiko pencemaran bahan kimia dan sebagainya. Botol yang digunakan bagi tujuan penyimpanan susu hendaklah selamat, tahan lama, tahan perubahan suhu, tebal dan tidak mudah bocor. Panduan daripada “The Breastfeeding Answer Book” mengatakan botol kaca adalah pilihan terbaik untuk membekukan susu, diikuti dengan botol plastic keras (polycarbonate) dan plastik (polypropylene). Jika memilih untuk menggunakan botol plastik, pastikan botol tersebut adalah bebas BPA (Biphenol A), kerana bahan ini berpotensi besar mencemari susu perahan anda.
Ramai ibu di Malaysia menggunakan bekas dadih sebagai bekas penyimpanan susu. Soalannya: sesuaikah atau selamatkah? Untuk ibu yang menggunakan bekas dadih ada beberapa perkara yang anda perlu ambil perhatian. Ini termasuklah;
  • Perhatikan dahulu nombor kod plastik yang biasanya tertera di bawah bekas dadih tersebut.
  • Elakkan daripada menggunakan kod no 3 (tiga), 6(enam) dan 7(tujuh).
  • Bekas yang selamat adalah bekas dengan kod no 5 (lima) – polypropylene
  • Tidak boleh gunakan bekas dadih untuk penyimpanan susu berulang kali kerana dikhuatiri akan dicemari bahan kimia tersebut.
Diingatkan walau apa bekas sekalipun anda pilih, pastikan bekas tersebut adalah bersih sebelum sigunakan. Basuh dengan menggunakan air sabun dan air suam, serta dibiarkan kering sebelum digunakan.
B. Cara Penyimpanan Susu Perahan
Bagaimana anda menyimpan susu adalah penting kerana ia menentukan daya tahan susu perahan anda. Berikut adalah merupakan tips penyimpanan susu yang boleh ikut, bergantung kepada keperluan seharian anda;
  1. Bekas menyimpan susu mestilah steril dan bersih.
  2. Simpan kuantiti yang mencukupi dalam satu bekas untuk sekali penyusuan.
  3. Tinggalkan sedikit udara di dalam bekas penyimpanan untuk membolehkan proses
  4. pengembangan berlaku jika susu dibekukan.
  5. Labelkan bekas dengan nama bayi, tarikh dan masa mula pemerahan.
  6. Cara penyimpanan – sila rujuk gambar di bawah. Panduan ini adalah untuk kegunaan bayi yang sihat dan lahir cukup bulan sahaja. Penyimpanan susu untuk bayi pramatang adalah berbeza.
susu-perahan
7. Gunakan susu yang lebih awal terlebih dahulu.
Dinasihatkan, elakkan daripada mencampurkan susu yang baru diperah bersama susu beku atau yang telah disejukkan untuk mengelakkan pertambahan suhu kepada susu yang telah disejukkan. Sebaiknya sejukkan dahulu baru dicampurkan (susu yang diperah dalam masa 24 jam sahaja boleh dicampurkan). Setelah dicampurkan, jika ingin menyimpan lebih lama bolehlah dipindahkan ke bahagian sejuk beku.
Tips: Pastikan susu disimpan di bahagian belakang peti sejuk untuk mengelakkan perubahan suhu yang cepat dan kerana ianya lebih sejuk. Elakkan daripada menyimpan di bahagian pintu peti sejuk.
C. Cara Mencairkan Dan Memanaskan Susu Perahan
Lazimnya, susu perahan ibu diberikan kepada bayi dalam keadaan suam. Terdapat pelbagai kaedah bagaimana untuk mencairkan dan memanaskan susu perahan. Paling penting, jangan sesekali panaskan susu perahan menggunakan microwave kerana ia menggunakan gelombang mikro yang boleh memusnahkan khasiat susu serta membahayakan bayi kerana pemanasan yang tidak sekata.
Jika susu perahan tersebut beku, letakkan susu beku yang hendak digunakan dibahagian rak bawah peti sejuk semalaman supaya mudah dicairkan ataupun merendam susu tersebut di dalam bekas berisi air (tetapi , masih dalam peti sejuk). Sentiasa gunakan susu yang paling awal di perah. Susu yang dibekukan akan menampakkan lemak terpisah menjadi dua lapisan. Goyangkan bekas dengan perlahan-lahan untuk menggabungkan lapisan lemak yang terpisah itu.
Keesokkannya, rendamkan bekas berisi susu di dalam air panas suam (1 bahagian air panas ditambah 2 bahagian air biasa). Dinasihatkan anda hanya panaskan kuantiti susu yang hendak digunakan untuk satu sesi penyusuan sahaja. Pastikan suhu susu suam dengan menitiskan beberapa titis susu di bahagian pergelangan tangan anda. Susu yang dipanaskan mestilah digunakan dalam masa 1 jam (dan tidak boleh disimpan semula). Boleh rujuk kepada jadual dibawah sebagai panduan penyimpanan susu perahan yang telah dicairkan.
bolehkah-susu-dicairkan-dibekukan-semula

Friday, 24 August 2018

7 Tips Banyakkan Susu Ibu

TIPS BANYAKKAN SUSU IBU

Susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi. Kolostrum yang dihasilkan oleh payudara ibu pada beberapa hari terawal akan membekalkan antibodi yang baik untuk bayi melawan jangkitan. Penyusuan pertama bayi akan dimulakan dengan menjilat, hisap dan berhenti sebentar. Pola hisapan sebegini biasanya berlaku beberapa jam dan adakalanya beberapa hari. Bayi akan pandai menghisap susu dan melekap pada payudara ibu dengan sendirinya. Ibu yang pertama kali melahirkan pasti teruja melihat dan merasai keadaan ini.
Proses penyusuan merupakan satu kepuasan kepada si ibu. Namun begitu, sesetengah ibu yang menyusukan bayi akan menghadapi masalah kekurangan susu. Hal ini biasanya terjadi kepada ibu yang berkerjaya. Pelbagai punca yang dikhuatiri mempengaruhi penghasilan susu. Apabila puncanya dapat dikenalpasti, cara mengatasinya akan jadi lebih mudah.
Oleh itu, kenalpasti punca susu badan anda merudum dan cari penyelesaiannya segera demi bayi tersayang.
Di sini saya senaraikan beberapa cara yang boleh dipraktikkan oleh para ibu untuk menambah susu badan. Mari kita semak satu persatu:

1. JANGAN PANIK, BAWA BERTENANG

Ya! Anda perlu bertenang. Tekanan merupakan salah satu punca penghasilan susu terganggu. Ramai yang tidak sedar akan perkara ini, namun anda perlu tahu bahawa semasa anda bertenang, tindakbalas hormon akan meneutralkan dan membantu dalam pengeluaran susu.
Tak percaya? Cubalah!
Anda boleh cuba buat begini. Semasa memerah atau menyusukan bayi, cuba bayangkan perkara yang indah-indah. Contohnya, mengimbas kembali kenangan manis bersama suami atau orang tersayang. Bayangkan detik-detik perkenalan dan percintaan kalian sehingga membawa hingga ke jinjang pelamin. Anda juga boleh mengangankan percutian yang diimpikan seperti bercuti di pulau peranginan yang mendamaikan dan sebagainya.
Selain itu, alunan muzik atau mendengar ayat-ayat al-quran juga bisa membantu anda untuk bertenang. Akhir sekali, yang paling mudah boleh dipraktikkan ialah, semasa memerah susu, bayangkan wajah dan keletah bayi anda yang comel itu. Ini pasti sangat membantu dalam pengeluaran susu anda. Anda pasti teruja melihat susu mengalir laju ketika memerah susu.

2. SENTIASA BERFIKIRAN POSITIF


Ramai ibu yang gusar tentang penghasilan susu badan mereka. Para ibu panik apabila susu yang dipam semakin hari semakin berkurangan. Bayi yang disusukan pula sering merengek dikhuatiri tidak cukup susu. Bagaimana dan kenapa perkara ini berlaku? Jawapannya ialah ‘mindset’. Otak merupakan organ utama yang mempengaruhi tindakan manusia. Setiap fikiran atau idea yang dijana oleh otak akan dihantar ke anggota badan yang lain untuk bertindak.
Sebagai contoh, perut yang berkeroncong kelaparan akan menghantar isyarat ke otak lalu otak akan menjana sesuatu idea untuk membolehkan perut diisi. Kemudian otak akan menghantar isyarat ke anggota badan yang lain sama ada untuk memasak atau membeli sesuatu untuk dimakan. Demikianlah juga perihal menyusu ini.
Berfikiran positiflah wahai ibu sekalian. Apabila anda berfikiran positif, otak akan menghantar isyarat ke kelenjar payudara untuk menghasilkan susu yang lebih banyak dan melancarkan pengeluaran susu anda. Sentiasalah berfikir bahawa susu badan anda cukup untuk si comel.